
KUALA LUMPUR, 18 Mac- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa wujud taktik syarikat telekomunikasi (telco) menawarkan pakej ‘percuma’ dengan caj tersembunyi sehingga memerangkap pengguna dengan hutang.
- Caj tersembunyi, terutama insurans dan kandungan pihak ketiga, menyebabkan pengguna tertipu dan menanggung hutang berganda.
- Mangsa menerima bil untuk talian tidak diaktifkan, menyebabkan penyenaraian hitam dan beban hutang 'hantu' tanpa penjelasan.
- PPIM desak MCMC audit penuh segala caj telco dan kenakan denda setimpal jika penipuan disahkan.
- Pengguna mesti semak penyata setiap bulan, cabar caj pelik dan rujuk PPIM jika telco enggan menyelesaikan aduan.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa, Aina Ramli, 48, yang ditawarkan pakej berkenaan setahun lalu.
“Kita tengok caj insurans sahaja, syarikat telco untung berpuluh juta. Tapi pengguna rugi besar sebab kena caj berganda.
“Ini bukan perniagaan, ini dah macam skim nak ‘sembelih’ pelanggan secara diam-diam. Saya nak tanya, di mana integriti syarikat-syarikat besar ini?” tegasnya.
Beliau berkata mangsa ditawarkan talian telefon ‘percuma’ sebagai penghargaan pelanggan setia dan dimaklumkan tiada tindakan diperlukan jika tidak berminat serta tiada caj dikenakan.
Menurutnya, selepas setahun, mangsa terkejut apabila mendapati namanya disenarai hitam dengan penyata bil menunjukkan caj RM100 setiap bulan bagi talian yang tidak pernah diaktifkan.
“Ini satu penganiayaan. Bagaimana talian yang tidak pernah disentuh boleh keluar bil RM100 sebulan sampai disenarai hitam? Kalau mangsa tak semak, sampai ke tua kena bayar ‘hutang hantu’ ini,” katanya.
Beliau berkata penindasan sistematik itu perlu dihentikan segera dan menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda setimpal jika dakwaan berkenaan benar.
Beliau berkata MCMC perlu melakukan audit menyeluruh terhadap setiap sen yang dicaj oleh telco, terutama melibatkan produk pihak ketiga seperti insurans dan kandungan premium.
Selain itu, beliau menegaskan syarikat telekomunikasi tidak seharusnya sewenang-wenangnya menyenarai hitamkan pengguna selagi aduan dan pertikaian bil belum diselesaikan secara telus.
Tambah beliau, orang ramai perlu menyemak penyata bil talian telefon masing-masing setiap bulan agar tidak menjadi mangsa seterusnya.
“Jangan jadi pak turut. Jangan percaya bulat-bulat apa telco kata ‘percuma’. Periksa setiap baris dalam bil anda.
“Kalau ada caj pelik hatta seringgit sekalipun, lawan. Kalau telco tak layan, datang jumpa kami di PPIM. Kita tak boleh biarkan mereka terus bermaharajalela mencuri duit rakyat secara halus,” tegas Nadzim lagi.