Ops Luxury: 73 kenderaan mewah disita JPJ Pulau Pinang

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifli Ismail ditemui pemberita selepas meninjau Ops Bersepadu Gempur Kenderaan Perdagangan di Tol Sungai Dua (Arah Selatan), malam tadi/RTM

BUTTERWORTH, 29 Januari -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita sebanyak 73 kenderaan mewah bernilai lebih RM10 juta menerusi pelaksanaan Ops Luxury sepanjang tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Pulau Pinang menyita 73 kenderaan mewah bernilai lebih RM10 juta melalui Ops Luxury sepanjang 2025.
  • Sitaan disebabkan pemilik gagal mematuhi dan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor, ada yang tertunggak 2 hingga 3 tahun.
  • 922 kenderaan diperiksa; 120 tindakan diambil termasuk kesalahan LKM, lesen memandu tamat dan tiada pemandu kedua.
  • Operasi melibatkan 120 anggota pelbagai agensi dan AADK, dengan satu pemandu dikesan positif dadah.

Tindakan itu susulan kegagalan pemilik mematuhi serta memperbaharui peraturan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Pengarahnya, Zulkifli Ismail berkata, sitaan melibatkan pelbagai jenis kenderaan mewah dengan sebahagian pemilik dikesan gagal memperbaharui LKM bagi tempoh dua hingga tiga tahun.

Menurut beliau, antara alasan yang sering diberikan pemilik kenderaan berkenaan ialah terlupa selain mendakwa pendapatan perniagaan mereka merosot.

“Kebanyakan pemilik-pemilik kenderaan ni ahli perniagaanlah. Alasan mereka antaranya, lupa, pendapatan merosot dan sebagainyalah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Bersepadu Gempur Kenderaan Perdagangan di Tol Sungai Dua (Arah Selatan), malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 922 kenderaan telah diperiksa dengan 120 telah diambil tindakan antaranya melibatkan kesalahan LKM dan lesen memandu tamat tempoh dan tiada pemandu kedua.

Selain itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah membuat saringan ke atas lapan pemandu dengan seorang daripadanya positif dadah.

Operasi yang dijalankan bermula pukul 8.00 hingga 12.00 tengah malam itu melibatkan120 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasa termasuk  Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya.