Op Viking bongkar sindiket pengubahan wang haram berskala besar

Ketua Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid/ RTM

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Polis hari ini mengesahkan ahli perniagaan terkenal, Victor Chin Boon Loong, antara 10 individu yang ditahan dalam siasatan kes pengubahan wang haram menerusi Op Viking yang dijalankan antara 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Viking hasil risikan sejak 2018, mendedahkan rangkaian pengubahan wang haram berskala besar termasuk pembelian syarikat tersenarai dan syarikat persendirian.
  • Pelbagai aset dibekukan dan disita: lapan hartanah, 32 kenderaan, 1,100 saham, CDS RM323.6 juta, dagangan RM64.2 juta, 404 akaun bank RM85.6 juta.
  • Siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang; 40 individu dipanggil, siasatan diteruskan bagi bawa pihak terlibat ke muka pengadilan.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid, memaklumkan Victor Chin ditahan pada Disember tahun lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan itu akan dipanggil semula bagi membantu siasatan.

Menurut beliau lagi, sembilan lagi individu yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan aktiviti tersebut.

Kesemua mereka kini telah dibebaskan dengan jaminan, manakala 40 individu lain turut dipanggil untuk dirakam keterangan.

Op Viking yang bermula pada 14 Oktober tahun lalu adalah hasil risikan pihak polis sejak 2018, membongkar rangkaian pengubahan wang haram berskala besar.

Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka pada 25 Oktober 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Siasatan masih diteruskan bagi mengesan rangkaian lebih luas yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini.

“Kes ini melibatkan beberapa individu yang kita syaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bukit Aman.

Dalam perkembangan berkaitan, Fazlisyam mendedahkan tindakan tegas telah diambil dengan membeku dan menyita pelbagai aset bernilai tinggi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Antara aset yang terlibat termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan serta 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad.

Turut dibekukan ialah akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323.6 juta, akaun dagangan sebanyak RM64.2 juta dan 404 akaun bank dengan jumlah keseluruhan mencecah RM85.6 juta.

Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 27B dan 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.

Pada 16 Mac lalu, polis turut menyerbu beberapa premis milik ahli perniagaan Victor Chin yang dipercayai berkaitan dengan dakwaan manipulasi korporat.

Sementara itu, Fazlisyam berkata pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan bahawa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran RM10 juta sebagai balasan untuk membantu menyelesaikan isu yang dihadapi oleh individu terbabit.

Siasatan masih diteruskan bagi memastikan setiap pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.