
KUALA LUMPUR, 6 Februari — Seramai 152 pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Selera dan Sapu di sekitar Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.
- Operasi serbu tumpuan premis dikawal warga asing sekitar pusat beli-belah, mendedahkan orang disorok dan dokumen disembunyikan untuk elak pemeriksaan.
- 19 premis dan 155 individu diperiksa; 95 pendatang tanpa izin ditahan membabitkan pelbagai negara dan kesalahan dokumen.
- Kes ditangani mengikut Akta Imigresen, Akta Pasport dan undang-undang antipemerdagangan orang; awam serta majikan diingatkan jangan melindungi PATI.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi bermula 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam itu menyasarkan premis perniagaan yang dimonopoli warga asing berhampiran pusat beli-belah terkemuka.
“Ketika operasi dijalankan, mereka enggan bekerjasama dan membuka pintu. Mereka menyembunyikan warga asing serta menyorok dokumen penting bagi mengelak diperiksa,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.
Jelasnya, sebanyak 19 premis diserbu manakala 890 individu diperiksa dalam operasi tersebut.
Daripada jumlah itu, 152 ditahan terdiri daripada 97 lelaki dan 55 wanita, berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun.
Mereka yang ditahan antaranya warga Myanmar, China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh.
Antara kesalahan dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas, serta penggunaan kad yang tidak diiktiraf.
Kesemua mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
JIM menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi pendatang tanpa izin kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.