
SEMENYIH, 23 Februari – Sebanyak 47 notis tindakan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dalam Ops Pemandu Warga Asing (Ops PEWA) yang dijalankan di sekitar Balakong.
- JPJ keluarkan 47 notis tindakan hasil Ops PEWA di Balakong terhadap pelanggaran lesen dan keselamatan jalan raya.
- Kesalahan utama termasuk 16 tanpa Lesen Vokasional/GDL, 12 tanpa Lesen Memandu Kompeten/CDL, lapan tanpa lesen kenderaan.
- Jabatan Imigresen menahan 13 warga asing untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang.
Operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu melibatkan pemeriksaan terhadap 13 kenderaan termasuk 11 motolori bawah 7,500 kilogram (kg), sebuah motokar dan sebuah kenderaan lain.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata antara kesalahan dikesan ialah 16 kes tiada Lesen Vokasional atau Lesen Memandu Barang (GDL), 12 kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta lapan kes tiada Lesen Kenderaan Motor.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran aspek keselamatan jalan raya dan mengingatkan pemilik kenderaan serta majikan supaya memastikan hanya pemandu berkelayakan dibenarkan mengendalikan kenderaan komersial,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam operasi sama, JIM turut menahan 13 warga asing untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.