
KUALA LUMPUR, 14 Januari– Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur memeriksa 326 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi satu operasi bersepadu di sebuah bangunan kediaman 19 tingkat di ibu negara, awal pagi tadi.
- Serbuan jalankan pengesanan selepas risikan dua minggu, membawa kepada pemeriksaan 326 pendatang asing tanpa izin.
- 79 PATI ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, bekerja sebagai pengawal, pembantu dobi dan tapak bina.
- Dalam operasi berasingan di Jalan Klang Lama, 77 PATI turut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata serbuan itu dibuat hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
“Hasil daripada pemeriksaan ini, kita mendapati seramai 79 PATI disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.”
“Mereka dikesan bekerja sebagai pengawal keselamatan di kedai makan, pembantu di kedai dobi serta di tapak pembinaan,” kata Datuk Lokman kepada pemberita.
Kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 55 tahun, melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, India, Pakistan dan Myanmar.
Dalam operasi berasingan di penempatan haram sekitar Jalan Klang Lama, seramai 77 PATI turut ditahan.
Mereka disyaki melakukan kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.