Op Hazard 3.0 serbu 110 premis proses e-sisa haram

Timbalan JKDNKA, Pasukan Gerakan Am, Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi meninjau premis serbuan Op Hazard 3.0.

KLANG, 6 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berjaya melumpuhkan sindiket pemprosesan sisa elektronik (e-sisa) haram dengan nilai rampasan mencecah RM55.2 juta dalam operasi Op Hazard 3.0, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 110 premis diserbu termasuk kilang pemprosesan e-sisa, premis barang lusuh dan kilang haram
  • Operasi bermula awal pagi dan melibatkan 1,611 anggota dari JAS, LHDN, PBT, JIM dan JTKSM
  • Rampasan: 316 tan e-sisa (RM23.68 juta), 388 tan barangan lusuh (RM2.53 juta), 9 tan barangan lain (RM29.01 juta)
  • Sebanyak 729 diperiksa; 205 ditahan termasuk 100 warga asing tanpa dokumen

Operasi yang bermula seawal jam 7 pagi itu menyasarkan premis haram dan pusat pengurusan e-sisa di seluruh negara yang dikesan menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang serta mencemarkan alam sekitar.

Timbalan JKDNKA, Pasukan Gerakan Am, Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, sebanyak 110 premis telah diserbu merangkumi kilang pemprosesan e-sisa, premis barang lusuh dan kilang haram.

“Op Hazard 3.0 ini adalah rentetan daripada siri operasi sebelum ini yang melibatkan isu pencemaran alam dan kemasukan e-sisa secara haram ke Malaysia. Merujuk kepada Konvensyen Basel, bahan-bahan ini tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini.

“Kemasukan bahan ini selalunya melibatkan salah isytihar (false declaration). Ia diproses di sini dan dikesan terdapat keraguan apabila mahu dieksport semula ke negara ketiga,” katanya kepada pemberita selepas menyertai serbuan di sebuah kilang di sini, hari ini.

Menurut beliau, Lembah Klang menjadi fokus utama serbuan berikutan maklumat risikan mendapati kawasan tersebut menempatkan banyak pusat pemprosesan e-sisa haram berdasarkan senarai lokasi yang dibekalkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Operasi bersepadu tersebut melibatkan kekuatan 1,611 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa berjaya merampas 316 tan e-sisa bernilai RM23.68 juta, 388 tan barangan lusuh bernilai RM2.53 juta dan 9 tan barangan lain bernilai RM29.01 juta.

Dari segi tangkapan, seramai 729 individu (154 warganegara dan 575 bukan warganegara) telah diperiksa. Daripada jumlah itu, 205 individu ditahan yang terdiri daripada 39 warganegara, 66 bukan warganegara, dan 100 warga asing tidak sah.

Selain itu, kompaun berjumlah RM82,450 turut dikeluarkan oleh PBT terhadap premis yang didapati melanggar peraturan.

Tambah beliau, satu sidang media lanjut akan diadakan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, pada Jumaat ini bagi memperincikan hasil operasi tersebut.