Op Bersepadu Motosikal: 247 saman dikeluarkan, 117 motosikal disita

FOTO Polis Daerah Johor Bahru Selatan

JOHOR BAHRU, 2 Februari – Sebanyak 117 motosikal disita dan 247 saman dikeluarkan polis dalam Operasi Bersepadu Motosikal yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, khususnya di Jalan Ismail Sultan, bermula petang semalam hingga awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu bersama JAS dan MBJB bertujuan membendung samseng jalanan serta gangguan ketenteraman awam akibat ekzos bising.
  • Pemeriksaan membawa kepada penahanan individu disyaki motosikal curi, pelanggaran undang-undang jalan raya dan kesalahan berkaitan dadah.
  • Kerjasama agensi akan diteruskan secara berkala untuk memastikan keselamatan jalan raya dan mengurangkan gangguan ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Raub Selamat berkata, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dari pukul 5 petang hingga 1 pagi.

Menurut beliau, operasi itu bertujuan membendung kegiatan samseng jalanan yang membahayakan pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman awam, khususnya melibatkan penggunaan ekzos bising.

“Sebanyak 215 individu dan 203 kenderaan telah diperiksa, dengan 247 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, pengubahsuaian struktur atau ekzos, lampu hadapan yang menyilaukan serta tiada cermin sisi,” katanya.

ACP Raub berkata, dua individu turut ditahan kerana disyaki menggunakan motosikal curi serta menunggang secara berbahaya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambah beliau, saringan ujian air kencing mendapati enam individu berusia antara 22 hingga 48 tahun positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan THC, dengan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Seorang individu yang mempunyai rekod dikehendaki mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan turut ditahan bagi tindakan lanjut,” katanya.

ACP Raub berkata, JAS turut mengeluarkan 21 kompaun serta 25 notis hadir semula untuk pemeriksaan lanjut mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau menegaskan, kerjasama bersepadu antara Polis Diraja Malaysia, JAS dan MBJB akan diteruskan secara berkala bagi memastikan keselamatan jalan raya di samping mengurangkan gangguan ketenteraman awam di sekitar daerah tersebut.