
CYBERJAYA, 2 April -Lima individu disiasat kerana disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api petrol dan diesel di platform media sosial Threads.
- MCMC memanggil suspek untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
- Kandungan tular adalah palsu, mengelirukan dan berpotensi mencetuskan kegelisahan masyarakat.
- Buletin TV3 menafikan kandungan itu disunting menggunakan identiti visual mereka dan membuat aduan kepada MCMC.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukumannya denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga suspek telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Kandungan yang disebarkan adalah palsu, mengelirukan serta berpotensi mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
“Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka. Susulan itu, pihak MCMC juga telah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada pihak mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan media sosial yang bertujuan mengelirukan orang ramai.
Orang ramai turut diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.