Maritim pintas bot PATI Indonesia cuba keluar negara melalui perairan Tanjung Piai

Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Maritim Malaysia

PONTIAN, 11 Mac — Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dipercayai cuba keluar dari negara ini melalui perairan Tanjung Piai, Kukup kira-kira 11.30 malam Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot dikesan kira-kira 1.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai.
  • Suspek berumur antara 21 hingga 55 tahun.
  • Bot cuba melarikan diri tetapi dikejar dan dipintas, suspek dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai; disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 55 tahun itu ditahan selepas bot yang dinaiki mereka dikesan berada kira-kira 1.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai.

Beliau berkata bot berkenaan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun cubaan itu gagal selepas dikejar sebelum dipintas oleh pasukan Maritim Malaysia.

“Kesemua suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.