
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Dua kes melibatkan rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan antarabangsa, masing-masing dikesan berada di Kemboja dan Jepun.
- Mangsa di Kemboja melarikan diri dari kem sindiket, tiada dokumen perjalanan dan berdepan risiko denda atau penahanan.
- Seorang lelaki Malaysia di Jepun disyaki terlibat sindiket penipuan, dengan rampasan wang sekitar 4 juta yen.
- MHO memohon campur tangan Kementerian Luar dan kedutaan untuk perlindungan konsular dan dokumen perjalanan kecemasan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, Rabu lalu mangsa kes pertama menghantar mesej memaklumkan dia kini berada di Kemboja dan baru melarikan diri dari kem sindiket, selain merayu bantuan kerana tidak mempunyai tempat tinggal dan dalam keadaan terdesak.
Mangsa dibawa ke Kemboja melalui laluan haram dari Thailand dan kini ditempatkan di sebuah hotel berhampiran Kedutaan Malaysia di Phnom Penh dengan bantuan aktivis MHO.
“Baru-baru ini, selepas tiga tahun menghilang tanpa khabar, anaknya tiba-tiba menghubungi keluarga pada tahun 2026 dan memaklumkan bahawa dia berada di Phnom Penh, Kemboja selepas berjaya melarikan diri.
“Kami kemudian membimbing anaknya untuk pergi ke pihak berkaitan dan ditempatkan di lokasi yang selamat. Namun, permasalahannya ialah dia tidak mempunyai pasport dan tidak memasuki negara tersebut secara sah.
“Difahamkan, dia memasuki Poipet melalui laluan tidak sah atau ‘jalan tikus’ dari Thailand, namun tidak dapat memastikan bagaimana dia keluar dari Malaysia dan memasuki Thailand sebelum ke Kemboja melalui laluan berkenaan,” katanya dalam sidang media di ibu negara yang turut dihadiri dua keluarga mangsa dari Semenyih dan Terengganu.
Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa kes berkenaan rumit kerana mangsa tiada dokumen perjalanan sah dan tiada rekod kemasukan ke Kemboja, sekali gus berdepan risiko denda tinggi atau penahanan jika menyerah diri kepada pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, sidang media berkenaan turut mendedahkan satu lagi kes melibatkan Muhammad Faiq Zafran, 23 tahun, berasal dari Terengganu dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan dan kini berada di Jepun.
“Pada pagi ini, kami menerima maklumat bahawa keluarga mangsa Muhammad Faiq telah ditahan di Toyama Minami Police Station, Jepun. Dia disyaki terlibat dalam kes penipuan, dengan tuduhan awal membabitkan panggilan telefon palsu.
“Difahamkan, terdapat rampasan wang berjumlah kira-kira 4 juta yen. Maklumat awal ini diperoleh daripada laporan yang disiarkan di laman sesawang di Jepun,” katanya.
Muhammad Faiq merupakan bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh dan lepasan diploma dari Politeknik Perlis. Mangsa dilaporkan hilang selepas memaklumkan mahu ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan sebelum keluarga dimaklumkan keberadaannya di Jepun.
MHO turut memohon campur tangan segera Kementerian Luar serta Kedutaan Malaysia di Kemboja dan Jepun bagi memastikan perlindungan konsular, pengecualian denda dan pengeluaran dokumen perjalanan kecemasan bagi membolehkan mangsa pulang ke tanah air dengan selamat.