
BUKIT KAYU HITAM, 26 Januari -Cubaan menyeludup keluar 2,900 minyak diesel ke negara jiran gagal selepas sebuah lori jenis rigid kargo ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), malam tadi.
- Lori rigid dikesan di ICQS Bukit Kayu Hitam ketika pemeriksaan bersama AKPS dan JPJ, cubaan seludup diesel gagal.
- Lori diubah suai tangki untuk menyembunyikan 2,900 liter diesel bernilai RM8,352 dan kenderaan disita.
- Rampasan dibuat, siasatan berjalan dan tindakan tegas akan diambil bagi mengekang pengubahsuaian kenderaan untuk penyeludupan.
Kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran itu dikesan kira-kira pukul 10 malam ketika pegawai penguat kuasa AKPS bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa kenderaan asing yang memasuki Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Ketua Bahagian Operasi Khas AKPS Bukit Kayu Hitam, Saiful Jeffery Razali berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut telah diubah suai pada bahagian tangki simpanan bagi menyembunyikan minyak diesel.
“Modus operandi ini dipercayai bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa dan menyeludup minyak diesel ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, nilai minyak diesel tersebut sebanyak RM8,352, manakala lori dianggarkan RM60,000 menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM68,352.
Katanya, diesel berkenaan dirampas manakala lori tersebut turut disita bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6, Akta Petroleum (Jualan dan Pembekalan) 1987 dan Seksyen 64(1) akta sama.
“Maklumat lanjut berkaitan individu, ejen atau syarikat terlibat masih dalam siasatan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya agensi penguat kuasa melalui pengubahsuaian kenderaan bagi tujuan penyeludupan,” katanya.
Saiful Jeffrey menegaskan AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di sempadan negara bagi menjamin keselamatan, kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia.