
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Polis Selangor menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melanggar sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan di Kampung Sungai Jernih, Shah Alam.
- Lima lelaki ditahan berkaitan insiden kenderaan langgar motosikal selepas rakaman kejadian tular.
- Siasatan awal kaitkan punca kepada perselisihan berkaitan isu tanah dan laluan lori.
- Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 307/279 dan Seksyen 395/365 Kanun Keseksaan.
- Polis menegaskan tiada unsur gangsterisme atau perkauman; orang ramai diminta elak spekulasi.
Ketua Polis Selangor Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Shazeli Kahar berkata, penahanan itu dilakukan selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial kira-kira pukul 11.41 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua pihak yang berlaku pada hari sama di kawasan berkenaan, dipercayai melibatkan pertikaian isu tanah serta laluan lori.
“Dua lelaki berusia antara 30 hingga 34 tahun, masing-masing seorang warga tempatan dan seorang bukan warga tempatan, ditahan bagi kes pertama, manakala tiga lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan bagi kes kedua.
“Suspek dan pengadu bagi kedua-dua kes didapati saling berkait antara satu sama lain. Insiden itu tidak melibatkan unsur gangsterisme atau isu perkauman, sebaliknya berpunca daripada pertikaian peribadi,” menurut kenyataan itu.
Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 395/365 Kanun Keseksaan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.