Lelaki Vietnam mengaku salah simpan hempedu, lidah ular sawa

Hoang Van Thai, 39 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan menyimpan lebih 1,000 hempedu dan 191 lidah ular sawa

JOHOR BAHRU, 10 April – Seorang lelaki warga Vietnam, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menyimpan lebih 1,000 hempedu dan 191 lidah ular sawa, awal April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh adalah pemegang pas pengiring pelajar antarabangsa.
  • Barangan yang disimpan merupakan hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010; didakwa mengikut undang-undang berkaitan.
  • Mahkamah menetapkan 20 April sebagai tarikh sebutan semula untuk pengesahan status Imigresen Johor dan keputusan pemberian jaminan.

Tertuduh, Hoang Van Thai, 39 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol dalam Bahasa Vietnam.

Tertuduh yang juga pemegang pas pengiring pelajar antarabangsa, didapati menyimpan 1,022 hempedu ular sawa dan 191 bahagian lidah ular sawa, yang merupakan hidupan liar dilindungi bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa lesen.

Kesalahan dilakukan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru, 4 April lalu, pukul 9.50 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(b) dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 60(1) Akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kes dikendalikan Pegawai Undang-Undang PERHILITAN, Mas Izzaty Lokman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Mahkamah menetapkan 20 April hadapan, sebagai tarikh sebutan semula kes, bagi pengesahan status daripada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor kepada tertuduh dan keputusan untuk pemberian jaminan.