Lelaki tempatan ditahan, lari pemeriksaan polis

Foto Fail

PETALING JAYA, 20 Mac – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Lebuh Raya Baharu Lembah Klang (NKVE) Menghala Klang pada petang Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek memandu secara agresif dan melanggar beberapa kenderaan lain sebelum berjaya ditahan polis.
  • Suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau serta satu kes masih dikehendaki di bawah Seksyen 15(4) POCA di Kuala Bera.
  • Kenderaan yang digunakan mempunyai rekod sebagai kenderaan hilang.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan; suspek direman dua hari sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bera.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat mengesahkan penahanan suspek pada hari yang sama menerusi satu kenyataan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menerima satu laporan polis mengenai insiden kejar mengejar antara kereta peronda polis dengan sebuah kereta jenis perodua myvi di Lebuh Raya NKVE Menghala Klang kerana cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

“Suspek telah memandu secara agresif dan melanggar beberapa kenderaan lain sebelum berjaya ditahan pihak polis,” katanya.

Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau serta satu kes masih dikehendaki di bawah Seksyen 15(4) POCA di Kuala Bera.

Semakan lanjut turut mendapati kenderaan yang digunakan mempunyai rekod sebagai kenderaan hilang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Sejurus penahanan, suspek telah direman dua hari sehingga hari ini sebelum diserahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Bera sementara kertas siasatan dilengkapkan bagi pendakwaan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berhubung insiden berkenaan.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.