Lelaki didakwa bunuh kenalan di Sungai Udang

Tertuduh, Saiful Hadi Othman, 44 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya di Sungai Udang, Melaka minggu lepas./BERNAMA

MELAKA, 18 Mac – Seorang lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh kenalannya dalam satu kejadian di Sungai Udang, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saiful Hadi Othman, 44, didakwa menyebabkan kematian Muhamad Hanafi Yusof, 25, di rumah Sungai Udang antara 7.58 hingga 8.15 malam pada 11 Mac.
  • Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun, dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
  • Tiada pengakuan direkod kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi; tertuduh mengangguk faham.
  • Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif; tertuduh tidak diwakili peguam; sebutan semula 29 April.

Tertuduh, Saiful Hadi Othman, 44 tahun, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Muhamad Hanafi Yusof, 25 tahun di sebuah kediaman antara jam 7.58 malam hingga 8.15 malam pada 11 Mac lepas.

Insiden tragis itu dipercayai berpunca daripada pertelingkahan antara kedua-dua pihak berkaitan sebuah telefon bimbit.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun.

Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Sulaiman.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – BERNAMA