Lebih RM1.8 juta barang kes jenayah, judi dan penipuan dilupuskan

ACP Hoo Chang Hook

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melupuskan lebih RM1.8 juta nilai pelbagai barang kes sejak 2023 sehingga 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM melupuskan lebih RM1.8 juta nilai barang kes sejak 2023 hingga 2026.
  • Pelupusan melibatkan 65,787 unit barang kes daripada 180 kertas siasatan jenayah.
  • Barangan dimusnahkan termasuk komputer, telefon bimbit, minuman keras, peralatan hiburan dan mesin Bitcoin.
  • Pelupusan dilakukan di bawah Perintah Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah untuk mengekalkan integriti dan keyakinan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hoo Chang Hook berkata, pelupusan itu melibatkan sebanyak 65,787 unit barang kes membabitkan 180 Kertas Siasatan Jenayah serta 378 unit barang kes dengan sembilan Kertas Siasatan Jenayah Komersil.

“Semua barang kes yang dirampas termasuk komputer riba, telefon bimbit, minuman keras, serta wang kertas palsu telah dimusnahkan.

“Selain itu, kami juga memusnahkan komputer CPU dan barangan berkaitan operasi pusat hiburan seperti mixer, mikrofon, speaker dan lain-lain. Tahun lalu, kami turut merampas mesin Bitcoin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, petang tadi.

Semua barang kes yang dirampas adalah hasil daripada pelbagai operasi membanteras mesin perjudian haram, penjualan nombor ekor tanpa lesen, selain rampasan barang kes berkaitan kes noda dan maksiat.

Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil pula terlibat dalam beberapa operasi membanteras kegiatan penipuan atau scammer.

Kesemua barang kes telah mendapat Perintah Pelupusan di bawah Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah, sekali gus mencerminkan komitmen PDRM dalam mengekalkan integriti dan keyakinan masyarakat.