Lebih 5,000 liter minuman keras dirampas dalam dua serbuan – JKDM

Wan Norizan Wan Daud (dua kanan) menunjukkan minuman keras dan alat pemprosesan bir haram yang dirampas JKDM

PETALING JAYA, 16 Mac– Lebih 4,500 liter minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Pelabuhan Klang, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM menumpaskan sindiket pemprosesan bir haram di premis tidak bertanda Bukit Lanchong, Shah Alam pada 6 Februari.
  • Pemeriksaan menemui peralatan pemprosesan dan pembotolan serta 703.3 liter minuman keras disyaki tidak berkastam (nilai dan duti RM208,594.24).
  • Modus operandi sindiket menggunakan premis di kawasan pendalaman untuk mengelak dikesan; kes disiasat di bawah Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.

Pengarah JKDM WPKL, Wan Norizan Wan Daud berkata rampasan itu dibuat menerusi Op Petasan pada 11 Februari lalu selepas pihaknya menahan sebuah kontena di pelabuhan berkenaan.

“Nilai rampasan termasuk duti cukai dianggarkan berjumlah lebih RM380,000,” katanya pada sidang media di JKDM WPKL, hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata dalam kes berasingan, JKDM turut menumpaskan sindiket pemprosesan bir haram hasil maklumat awam.

Jelas beliau, operasi pada 6 Februari lalu di sebuah premis tidak bertanda di Bukit Lanchong, Shah Alam menemukan peralatan pemprosesan dan pembotolan minuman keras.

“Turut ditemui minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran kuantiti sebanyak 703.3 liter melibatkan nilai dan duti cukai dianggarkan mencecah RM208,000,” katanya.

Menurut Wan Norizan, modus operandi sindiket itu menjadikan premis di kawasan pendalaman sebagai lokasi pemprosesan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.