
IPOH, 6 Februari – Sebanyak 529 unit telefon bimbit disyaki tiruan berjenama terkenal disita dalam serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di sini.
- 529 unit telefon bimbit disyaki tiruan disita dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Ipoh.
- Pemeriksaan mendapati cap dagang berdaftar dipakaikan secara salah pada telefon untuk tujuan perdagangan.
- Premis disyaki melanggar Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki dan mengedar barangan bercap dagang palsu.
- Barangan dan dokumen disita untuk siasatan lanjut; nilai rampasan dianggarkan RM150,788.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, serbuan dijalankan hasil aduan serta maklumat daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki penjualan telefon bimbit tiruan di premis berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua telefon bimbit terbabit disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah bagi tujuan perdagangan.
Pengesahan awal oleh wakil syarikat cap dagang mendapati premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki dan mengedar barangan bercap dagang palsu.
Dalam serbuan itu, kesemua barangan dan dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM150,788.
Kes disiasat bawah Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.