
SEREMBAN, 23 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 4,157 kesalahan sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 yang dijalankan dari 13 hingga 20 Februari lalu.
- 21,571 kenderaan diperiksa sepanjang operasi tersebut.
- 1,864 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
- 339 bas diperiksa; tujuh dikenakan tindakan berkaitan permit dan kecacatan teknikal.
- Daripada 101 pemandu bas diuji, dua positif methamphetamine dan ditahan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dalam satu kenyataan memaklumkan, sepanjang tempoh operasi itu sebanyak 21,571 kenderaan telah diperiksa dan 1,864 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran peraturan jalan raya.
“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan termasuk memandu tanpa lesen, memandu melebihi had laju, selain kesalahan teknikal serta tatakelakuan pemandu.
“Dalam operasi sama, JPJ turut memberi tumpuan terhadap pemantauan perkhidmatan bas di terminal bagi memastikan tahap keselamatan operasi dipatuhi sepenuhnya.
“Sebanyak 339 bas diperiksa dan tujuh daripadanya diambil tindakan berkaitan pelanggaran syarat permit serta kesalahan teknikal,” katanya.
Pemeriksaan itu turut melibatkan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas.
Tambah Hanif lagi, daripada 101 pemandu yang diuji, dua didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan untuk tindakan lanjut, manakala syarikat bas terlibat diarahkan menyediakan pemandu gantian.
JPJ Negeri Sembilan menegaskan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, khususnya sepanjang musim perayaan.