
PELABUHAN KLANG, 7 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya menahan dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C kerana melanggar syarat lesen di kedudukan kira-kira 16.6 batu nautika barat daya Tanjung Karang, malam semalam.
- Maritim Selangor menahan dua Vesel Nelayan Tempatan Kelas C kerana melanggar syarat lesen ketika rondaan operasi bersepadu.
- Sembilan kru warga Myanmar berumur 24–50 tahun ditahan; semua gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
- Rampasan hasil tangkapan ikan campur kira-kira 450 kilogram turut dibuat semasa penahanan.
- Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63; tindakan tegas diteruskan untuk kelestarian sumber laut.
Menerusi satu kenyataan, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, vesel tersebut dikesan semasa rondaan operasi bersepadu OPEHSAN, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 dan OP MARDOF SIRI 2 BIL 1/2026.
Kedua-dua vesel yang ditahan dikendalikan sembilan kru lelaki berusia antara 24 hingga 50 tahun dan kesemua mereka merupakan warganegara Myanmar.
“Siasatan awal mendapati, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain tidak memiliki permit kerja atau kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” jelas beliau.
Selain vesel, Maritim Malaysia turut merampas hasil tangkapan ikan campur seberat kira-kira 450 kilogram.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan warga asing tanpa kelulusan, selain Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pengenalan diri yang sah.
Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, menegaskan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan aktiviti perikanan mematuhi undang-undang demi kelestarian sumber laut negara.