
KUCHING, 7 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sarawak (KPDN Sarawak) merampas sebanyak 12,410 kilogram minyak masak peket satu kilogram dalam pemeriksaan ke atas dua premis pembungkus minyak masak di Sejingkat, Khamis lalu.
- 12,410 kg minyak masak paket disita selepas timbang mendapati kurang berat ditetapkan.
- Pemeriksaan melibatkan 125 paket dengan purata berat 0.9791 kg setiap paket.
- Tindakan diambil mengikut Perenggan 7 Perintah Perihal Dagangan 2023 terhadap dua premis pembungkus.
- KPDN Sarawak galakkan aduan awam melalui e-Aduan untuk lindungi hak pengguna.
Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan nominal melibatkan 125 peket minyak masak dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM31,025.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin, berkata pemeriksaan mendapati minyak masak berkenaan tidak mematuhi berat ditetapkan selepas ditimbang menggunakan Alat Timbang Berketepatan Tinggi Pre-Package Class II.
“Daripada pemeriksaan tersebut, minyak masak peket satu kilogram itu didapati hanya mempunyai purata berat keseluruhan sebanyak 0.9791 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tindakan kes diambil terhadap kedua-dua premis berkenaan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Perenggan 7, Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023.
Jelas Matthew lagi, pemeriksaan dijalankan susulan aduan rasmi orang awam yang diterima melalui portal e-Aduan KPDN berkaitan dakwaan kandungan minyak masak peket satu kilogram kurang daripada berat ditetapkan.
Dalam pada itu, KPDN Sarawak mengalu-alukan aduan daripada orang ramai serta agensi berkaitan sebagai usaha berterusan melindungi hak pengguna dan memastikan tiada manipulasi kandungan barangan kawalan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.