Lelaki ditahan disyaki seleweng 750 liter diesel

Foto FB KPDN Pahang

KUANTAN, 17 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menyita kira-kira 750 liter minyak diesel yang disyaki diselewengkan dalam satu operasi penguatkuasaan di Plaza Tol Kuantan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN Pahang menyita kira-kira 750 liter minyak diesel disyaki diseleweng semasa operasi penguatkuasaan di Plaza Tol Kuantan.
  • Sebuah Nissan Navara Single Cab ditahan dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM42,340.
  • Lelaki pemandu disyaki melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 berkaitan kuantiti tanpa permit.
  • Jika disabitkan, hukuman termasuk denda sehingga RM1 juta atau RM3 juta, dan bagi syarikat denda sehingga RM2 juta atau RM5 juta.

Dalam operasi bersama Pasukan Peronda Lebuhraya Pantai Timur dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara Single Cab turut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM42,340.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata ketika pemantauan sempena Ops Selamat, pasukan peronda lebuh raya menahan seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut membawa muatan yang disyaki minyak diesel yang diisi ke dalam dua buah tong drum.

“Individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), serta melanggar Subperaturan 18(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana mengguna atau mengambil barang berjadual melebihi kuantiti yang dibenarkan tanpa permit,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 122, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta.

Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.