KPDN bongkar aktiviti seleweng minyak masak subsidi, rampasan lebih RM57,000

215 peket minyak masak bersubsidi dirampas dalam serbuan pada 7 April lalu/Foto KPDN Mantin

SEREMBAN, 10 April – Sebanyak 215 kotak minyak masak peket bersubsidi berjaya dirampas dalam satu operasi khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Mantin, dekat sini pada 7 April lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebuah premis memproses semula minyak masak subsidi dengan memotong peket dan memindahkannya ke tangki IBC untuk dijual semula.
  • Rampasan termasuk 4,705 kilogram minyak, sebuah lori, peralatan; nilai dianggarkan melebihi RM57,000, dan empat individu ditahan.
  • Premis tiada lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; kes disiasat di bawah Seksyen 21 dan KPDN akan mempergiat operasi penguatkuasaan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM57,000, manakala empat individu termasuk seorang warga tempatan dan tiga warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan kira-kira pukul 2 petang itu adalah hasil risikan selama sebulan yang mengesan sebuah premis dijadikan lokasi memproses semula minyak masak bersubsidi.

“Hasil pemeriksaan mendapati minyak masak paket satu kilogram dipotong sebelum dipindahkan ke dalam tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) untuk dijual semula.

“Minyak masak itu dipercayai diperoleh daripada pemborong di Semenyih sebelum dibawa ke premis berkenaan untuk diproses dan diedarkan semula ke pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut menemukan empat tong IBC dengan tiga daripadanya mengandungi kira-kira 1,050 kilogram minyak masak.

“Kesemua minyak masak seberat 4,705 kilogram bersama sebuah lori satu tan dan beberapa peralatan lain telah disita,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menjalankan aktiviti berkaitan barang kawalan bersubsidi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Azman berkata KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan subsidi yang menjejaskan kepentingan rakyat.

“Sejak pelaksanaan OPS TIRIS 4.0 bermula 16 Mac lalu, sebanyak 15 kes melibatkan rampasan minyak masak direkodkan di seluruh negara.

Jumlah rampasan itu mencecah 19,511 kilogram dengan nilai RM48,884.40 setakat 7 April.”

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN.