Kontraktor rugi hampir RM108,000 terpedaya tender palsu

FOTO HIASAN

BESUT, 17 Februari – Seorang kontraktor lelaki kerugian hampir RM108,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket tawaran tender tidak wujud, awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang kontraktor lelaki kerugian hampir RM108,000 akibat sindiket tender palsu.
  • Mangsa dihubungi melalui WhatsApp oleh penyamar sebagai pegawai perolehan agensi kerajaan.
  • Mangsa membuat lima pemindahan wang antara 10 hingga 12 Februari bagi lima jana kuasa mudah alih.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan; orang ramai dinasihati sahkan tender secara rasmi.

Ketua Polis Daerah Besut, Penguasa Polis Supt Mohd Rozaime Ab Rahim, menerusi satu kenyataan memaklumkan pada 3 Februari lalu, mangsa berusia 47 tahun menerima mesej WhatsApp daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai perolehan sebuah agensi kerajaan di daerah berkenaan.

Menurutnya, suspek menawarkan tender membekalkan mesin jana kuasa elektrik yang kononnya untuk kegunaan agensi terbabit.

“Mangsa bersetuju membeli lima jana kuasa mudah alih dengan nilai keseluruhan RM107,995 dan telah melakukan lima transaksi wang ke dalam akaun atas nama sebuah syarikat seperti yang diberikan suspek.

“Mangsa memasukkan wang tersebut dalam tempoh dua hari antara 10 hingga 12 Februari lalu,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian menghubungi pejabat agensi berkenaan untuk mendapatkan pengesahan, namun dimaklumkan tiada sebarang tender dikeluarkan seperti yang didakwa.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut pada Isnin.

Supt Mohd Rozaime menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran tender atau projek yang menjanjikan keuntungan segera tanpa pengesahan rasmi daripada agensi berkaitan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.