
BUKIT MERTAJAM, 27 Januari – Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyamar sebagai pegawai Imigresen susulan penangkapan dua lelaki di sekitar Kuala Lumpur, 18 Januari lepas.
- Polis menumpaskan kumpulan samun menyamar pegawai Imigresen selepas dua suspek ditangkap di Bukit Jalil dan Ampang.
- Suspek merampas barang kemas, wang dan telefon mangsa warga Myanmar dengan anggaran kerugian kira-kira RM4,000.
- Dua ditangkap positif dadah; empat lagi suspek masih dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pada 13 Januari lepas pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Ladang Chip Jao, Bukit Tengah pada 10.30 pagi.
Jelasnya, mangsa merupakan seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun memaklumkan enam lelaki berpakaian gelap dan memakai pelitup muka menaiki sebuah kereta Proton X70 telah berhenti di rumahnya.
“Lima daripada suspek telah masuk ke dalam rumah dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen sebelum menggeledah kediaman tersebut.
“Suspek turut mengacukan parang sebelum melarikan pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas,wang tunai dan telefon bimbit dengan anggaran kerugian sekitar RM4,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas maklumat dan risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat polis daerah SPT telah menjalankan serbuan di Bukit Jalil dan Ampang, Kuala Lumpur.
Hasilnya, dua orang lelaki berusia 38 dan 32 tahun telah ditangkap di kedua-dua lokasi.
Antara barangan yang dirampas ialah sebuah kereta Proton X70 berwarna putih dipercayai digunakan semasa kejadian, beberapa buah telefon bimbit dan pakaian serta aksesori yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.
Hasil saringan ujian air kencing turut mendapati mereka positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Kesemua mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth esok.
Dalam pada itu, polis masih giat mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dan masih bebas.