Kes jenayah dalam talian di Melaka cecah 538 kes, rugi RM8.59 juta

Datuk Dzulkhairi Mukhtar menjadi tetamu Program “Kokenut Shake Dulu” Polis & Anda sempena Sambutan Hari Polis ke-219 di Konti Melaka FM

MELAKA, 26 Mac – Sebanyak 538 kes jenayah dalam talian direkodkan di Melaka membabitkan kerugian melebihi RM8.592 juta bagi tempoh Januari tahun ini hingga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes tertinggi: penipuan pembelian dalam talian (212), penipuan pelaburan (103) dan pinjaman tidak wujud (84).
  • Kes meningkat menjelang Aidilfitri susulan pembelian dalam talian; penipu menerima bayaran tetapi tidak menghantar barang.
  • Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa jenayah dalam talian.
  • Sempena Rumah Terbuka Aidilfitri, 200 pegawai dan anggota polis ditempatkan untuk kawal trafik dan keselamatan pengunjung.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, antara kes tertinggi yang dilaporkan ialah penipuan pembelian dalam talian (e-dagang) sebanyak 212 kes, diikuti penipuan pelaburan (103 kes) dan pinjaman tidak wujud (84 kes).

Menurut beliau, jumlah kes menunjukkan peningkatan khususnya menjelang sambutan Aidilfitri susulan peningkatan pembelian barangan secara dalam talian oleh orang ramai.

“Apabila orang ramai memerlukan pelbagai barangan, mereka membuat tempahan secara dalam talian. Namun, ada pihak mengambil kesempatan dengan menerima bayaran tetapi barang yang dipesan tidak dihantar kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu Program “Kokenut Shake Dulu” Polis & Anda sempena Sambutan Hari Polis ke-219 di Konti Melaka FM, Jalan Taming Sari.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa jenayah dalam talian.

Dalam perkembangan lain, sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka pada 28 Mac ini, seramai 200 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengunjung terjamin.