
SEPANG, 16 Februari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menumpaskan tiga kes penyeludupan membabitkan dadah, besi dan kenderaan elektrik (EV), dengan jumlah rampasan dan duti dianggarkan RM2.508 juta.
- JKDM KLIA menumpaskan tiga kes penyeludupan melibatkan dadah, besi dan kenderaan elektrik bernilai RM2.508 juta.
- Rampasan dadah: 16.057 kg bunga ganja dan 57 g kokain, disyaki dieksport melalui perkhidmatan mel dan kurier.
- Enam kontena besi tanpa permit dirampas di Pelabuhan Klang dengan nilai rampasan RM883,301.15 termasuk duti.
- Serbuan di Sentul dan Petaling Jaya rampas 21 unit EV dan e-bike tanpa kelulusan import; kes disiasat di bawah Akta Kastam.
Pengarah JKDM KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, rampasan itu merangkumi bunga ganja dan kokain seberat 16.057 kilogram (kg), besi pelbagai saiz (145,281 kg) serta 21 unit EV tiga roda dan e-bike.
Bagi kes pertama, tiga bungkusan disyaki dadah cuba dieksport secara berasingan ke dua negara Eropah.
“Pada 5 Januari, dua bungkusan mengandungi bunga ganja seberat 16 kg bernilai RM1.408 juta dirampas, manakala pada 28 Januari, satu lagi bungkusan mengandungi kokain seberat 57 gram bernilai RM11,400 turut disita,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Sindiket menggunakan perkhidmatan mel dan kurier dengan mengikrarkan bungkusan sebagai hadiah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi kedua pada 19 Januari, enam kontena besi tanpa permit sah ditahan di Pelabuhan Klang, bernilai RM683,164 dengan duti RM200,136, menjadikan jumlah rampasan RM883,301.15.
Bagi kes ketiga, serbuan ke atas tiga premis di Sentul dan Petaling Jaya membawa kepada rampasan 21 unit EV dan e-bike tanpa kelulusan import, bernilai RM122,101 dan duti RM83,028.
Zulkifli berkata penjualan dijalankan secara dalam talian dan penghantaran terus kepada pembeli untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
JKDM menegaskan komitmen memperketat kawalan pintu masuk negara dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.