Kanak-kanak lelaki cedera terkena tembakan senapang angin jiran

Foto Polis

KEMAMAN, 5 Mac -Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera dipercayai terkena tembakan senapang angin yang dilepaskan jirannya di Felda Seberang Tayor, Kemaman, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak bermain di hadapan rumah, kemudian menangis dan mengadu sakit di belakang sebelah kiri tubuh.
  • Hasil pemeriksaan jumpa lebam kemerahan dan sebutir bebola besi perak di hadapan rumah.
  • Suspek mengaku melepaskan das tembakan dari jarak 40 meter, tidak menyangka mengenai mangsa.
  • Polis rampas dua senapang angin; suspek positif morfin, mempunyai rekod lampau dan ditahan reman empat hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama abangnya di hadapan rumahnya kira-kira pukul 3.45 petang.

‘Mangsa dikatakan menangis selepas dipercayai terkena tembakan dan mengadu berasa sakit pada bahagian belakang sebelah kiri badan.

“Selepas diperiksa ibu mangsa terdapat kesan lebam kemerahan pada belakang badan mangsa dan menemui satu biji bebola besi berwarna perak di hadapan rumah mangsa,”katanya dalam satu kenyataan.

Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih kira-kira pukul 5.00 petang sebelum suspek ditahan kira-kira pukul 6.00 petang.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku melepaskan satu das tembakan ke rah rumah jirannya pada jarak 40 meter namun tidak menyangka tembakan itu terkena ke arah mangsa.

Polis merampas dua laras senapang angin termasuk satu senapang angin buatan sendiri.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek mendapati positif dadah jenis morfin dan suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan manakala suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga Ahad depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.