Kanak-kanak autistik ditemukan lemas dalam kolam takungan

FOTO JBPM KEDAH

JITRA, 11 April – Seorang kanak-kanak perempuan autistik yang dilaporkan hilang ditemukan lemas di dalam kolam takungan banjir di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari, Kepala Batas, di sini pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan kehilangan dibuat bapa selepas anak sulung berusia 20 tahun memaklumkan mangsa tiada di rumah.
  • Siasatan awal: pintu pagar dibuka oleh abang berusia sembilan tahun yang juga autistik.
  • Pasukan forensik mendapati tiada unsur jenayah atau kecederaan akibat perbuatan pihak lain.
  • JBPM terima panggilan kecemasan kira-kira 4.26 petang; sembilan anggota dan seorang pegawai membawa mangsa ke tempat selamat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Penguasa Polis Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa berusia lima tahun itu ditemukan selepas usaha pencarian dijalankan di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Menurut beliau, laporan kehilangan dibuat oleh bapa mangsa selepas dimaklumkan anak sulungnya yang berusia 20 tahun bahawa kanak-kanak itu tiada di rumah dan dipercayai keluar melalui pagar.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah selepas pintu pagar dibuka oleh abangnya yang berusia sembilan tahun, yang juga merupakan kanak-kanak autistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan pasukan forensik daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah mendapati tiada unsur jenayah atau kecederaan akibat perbuatan pihak lain pada tubuh mangsa.

Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 4.26 petang.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota bersama seorang pegawai dikejarkan ke lokasi dan mendapati mangsa berada dalam keadaan terapung di permukaan kolam.

“Anggota kemudian memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum turun ke kolam dan membawa mangsa ke tempat selamat,” katanya.