
JOHOR BAHRU, 13 Mac – Seorang juruteknik dihukum penjara 18 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi di sini, selepas mengaku bersalah terhadap 10 tuduhan amang seksual, pemerdagangan bayi dan penghasilan bahan penganiayaan seksual, dua tahun lalu.
- Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua 10 pertuduhan.
- Didakwa memperdagangkan dua bayi perempuan (lima hari) dan seorang bayi lelaki (tujuh bulan) untuk eksploitasi haram.
- Dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak perempuan berumur antara lima hingga tujuh tahun.
- Berdepan pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual dengan merakam video melibatkan ketiga-tiga mangsa.
Keputusan dibuat Hakim Mohd Zamir Suhaimee, Nor Aziati Jaafar dan Madihah Zainol selepas tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 30 tahun, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.
Bagi tiga tuduhan pertama, lelaki berkenaan didakwa memperdagangkan dua bayi perempuan berusia lima hari dan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan bagi tujuan eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Selain itu, bagi empat pertuduhan lain, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga tujuh tahun ketika kejadian.
Tertuduh juga berdepan dua pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual dengan merakam video melibatkan ketiga-tiga mangsa yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Imran Mohamed Sam dan Haziq Ishak.