JPJ Perak keluarkan 1,307 saman dalam empat hari Op Khas TBC

Foto FB JPJ Negeri Perak

IPOH, 17 Februari– Sebanyak 1,307 notis dan saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak setakat empat hari pelaksanaan Operasi Khas sempena Perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 yang bermula Jumaat lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majoriti tindakan dikeluarkan terhadap motosikal, diikuti motokar dan kenderaan perkhidmatan awam.
  • Kesalahan utama termasuk tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, melanggar isyarat lalu lintas dan muatan berbahaya.
  • Op Penyamaran Bas Ekspres periksa bas, dokumen lesen dan pematuhan keselamatan di terminal seluruh Perak.

Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan berkata, daripada jumlah tersebut, 892 tindakan dikenakan terhadap motosikal, diikuti motokar sebanyak 404 manakala 11 melibatkan kenderaan perkhidmatan awam.

Antara kesalahan utama yang dikesan termasuk kegagalan memakai tali pinggang dan topi keledar, tidak mematuhi isyarat lalu lintas serta membawa muatan secara berbahaya.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak turut melaksanakan Op Penyamaran Bas Ekspres sebagai pendekatan penguatkuasaan berimpak tinggi.”

“Sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 119 buah bas ekspres telah diperiksa, melibatkan pemeriksaan teknikal, dokumen pelesenan termasuk pematuhan terhadap dokumen kebenaran yang sah, serta pematuhan prosedur keselamatan di terminal-terminal bas di seluruh negeri Perak,” kata Mohammad Yusoff kepada pemberita.

Beliau ditemui pada sidang media Op Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Meru Raya, Ipoh, pada Isnin malam (16 Februari).

Seramai 263 anggota penguatkuasa telah digerakkan melibatkan 41 pasukan pemantauan di seluruh negeri Perak dengan fokus kepada lebuh raya utama, jalan persekutuan serta terminal bas.

Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 bermula 13 hingga 22 Februari bertujuan memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan berlangsung.