
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Sebuah premis gudang terpencil di Telok Panglima Garang dikesan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan daripada China yang disyaki menggajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
- Operasi serbuan JIM di gudang Telok Panglima Garang menahan 24 individu disyaki PATI.
- Gudang dipercayai memproses dan membungkus barangan dari China untuk jualan dalam talian.
- Dua warga China disyaki menggajikan pekerja tanpa dokumen, sembilan pasport dan sebuah Mercedes disita.
Berdasarkan aduan dan maklumat awam, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Perisikan dan Operasi Khas menyerbu gudang tersebut pada pukul 10.55 pagi Selasa dan menahan 24 orang PATI.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya menahan dua lelaki warga China, sembilan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, dua lelaki dan lapan wanita warga Myanmar serta seorang wanita warga Kemboja.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, dua warga China berkenaan dipercayai menyalahgunakan pas yang dimiliki, manakala dua warga Bangladesh pula tinggal lebih masa.
“Manakala warga asing yang lain ditahan didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam operasi sama, pihak imigresen turut menyita sembilan pasport melibatkan warganegara Bangladesh, Myanmar, China dan Kemboja, selain sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz yang dipercayai digunakan bagi menyokong aktiviti berkenaan.
“Siasatan awal mendapati gudang tersebut dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China sebelum dihantar kepada pelanggan tempatan melalui platform aplikasi dalam talian.
“Bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, premis itu beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit, tidak mempunyai papan tanda perniagaan dan disyaki telah beroperasi selama kira-kira enam bulan,” katanya.
Jelas beliau, salah seorang warga China yang ditahan turut dipercayai berperanan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.
Kesemua individu ditahan disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Imigresen 1959/63, sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.
JIM menegaskan tindakan tegas akan terus diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menitikberatkan aspek integriti, keadilan dan ketenteraman awam. ##