Jenazah dua beranak mangsa bunuh di Juru selamat dikebumikan

SIK, 19 Oktober – Jenazah dua beranak dipercayai mangsa pembunuhan di sebuah rumah di Kampung  Sekolah Juru, Butterworth, Pulau Pinang, selamat dikebumikan 8.30 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah Sariya Che Him, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alishah, 11, dikebumikan bersama di Sik, Kedah.
  • Bedah siasat selesai di Hospital Pulau Pinang; mayat ditemukan dalam keadaan tragik di dua tingkat rumah.
  • Suami mangsa, 57, direman tujuh hari; kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah  Sariya Che Him, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alishah Abdul Rahim, 11, dikebumikan  dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Maarif Jeneri, Sik, Kedah.  

Terdahulu kedua -dua jenazah  tiba di masjid berkenaan, kira-kira 7.15 malam untuk disolatkan. 

Bedah siasat ke atas mayat dua beranak itu selesai kira-kira pukul 4.30 petang di Hospital Pulau Pinang.

Media melaporkan mayat Allahyarham Sariya ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus.

Manakala mayat  Nur Afrina Alisha ditemukan dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.

Suami mangsa berusia 57 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.