
JOHOR BAHRU, 15 Januari – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengeluarkan sebanyak 580 kompaun dengan nilai keseluruhan RM1.16 juta atas pelbagai kesalahan, sepanjang tahun lalu.
- JAS Johor keluarkan 580 kompaun bernilai RM1.16 juta sepanjang tahun lalu.
- Operasi penguatkuasaan melibatkan 13 siri dan 590 premis termasuk industri serta loji kumbahan.
- Dikeluarkan 530 Arahan Lapangan, 200 Notis Arahan dan 24 Penahanan Operasi Kelengkapan.
- JAS jalankan seminar, beri khidmat nasihat dan ajak orang ramai lapor pencemaran.
Tindakan dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling.
Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd Famey Yusoff berkata, ia hasil 13 siri operasi penguatkuasaan yang melibatkan 590 industri, premis berlesen dan loji kumbahan di seluruh negeri.
Sepanjang operasi itu, JAS Johor turut mengeluarkan 530 Arahan Lapangan, 200 Notis Arahan serta 24 Penahanan Operasi Kelengkapan (POK), khususnya membabitkan kes pencemaran.
Menurutnya operasi berkenaan dilaksanakan melibatkan kerjasama lima cawangan dan empat unit penguatkuasaan JAS bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang alam sekitar.
“JAS Johor sentiasa memberikan komitmen berterusan untuk memastikan pembangunan negeri berjalan secara mampan tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar,” katanya menerus satu kenyataan.
Selain penguatkuasaan, beliau berkata JAS turut menyediakan khidmat nasihat dan menganjurkan lima siri seminar bagi meningkatkan tahap pematuhan serta tanggungjawab industri terhadap alam sekitar.
Orang ramai turut digalakkan melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar kepada JAS untuk tindakan lanjut.