
DENGKIL, 15 FEBRUARI – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Khas berhubung dakwaan pemilikan saham melibatkan dirinya.
- Azam Baki sedia beri kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Khas untuk siasatan dakwaan pemilikan saham.
- Beliau akan menyerahkan dokumen peribadi dan keterangan secara telus bila dipanggil.
- Azam ancam tindakan undang-undang terhadap Bloomberg jika tidak jawab surat tuntutan dalam 14 hari.
Beliau berkata, pihaknya memberi ruang sepenuhnya kepada jawatankuasa tersebut untuk melaksanakan siasatan secara bebas dan telus tanpa sebarang campur tangan.
“Saya serahkan kepada jawatankuasa. Saya sudah membuat pengumuman dan tidak mahu campur tangan. Siapa yang dilantik dan sebagainya,
“Saya tidak mahu komen. Mereka boleh menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saya bersedia memberi apa jua dokumen atau keterangan yang diperlukan.
“Saya memang sudah bersedia. Bila-bila masa dipanggil, saya akan serahkan dokumen berkenaan. Tiada apa yang perlu disorokkan,” katanya.
Beliau turut menaruh keyakinan jawatankuasa berkenaan akan menjalankan tugas dengan penuh ketelusan dan integriti.
“Semua ini melibatkan dokumen peribadi dan saya akan tunjukkan kepada mereka secara telus. Soal pelantikan jawatankuasa itu saya serahkan kepada kerajaan. Saya yakin jawatankuasa ini akan menjalankan tugas dengan telus dan profesional.”
Mengulas lanjut, beliau berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi Bloomberg sekiranya syarikat media antarabangsa itu gagal menjawab surat tuntutan (LOD) dalam tempoh 14 hari.
“Saya sudah bertemu dengan pihak polis dan akan melengkapkan dokumen yang sama untuk diserahkan kepada jawatankuasa. Sudah tentu mereka memerlukan nota kontrak serta dokumen berkaitan untuk menilai kedudukan kewangan saya dan sebagainya.
” Jika pihak agensi media itu gagal berbuat demikian, saya akan meneruskan tindakan saman sehingga ke peringkat seterusnya,” katanya demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Perasmian Kampung Angkat MADANI di Balai Raya Kampung Sungai Buah, Dengkil di sini, hari ini.