
KUALA LUMPUR, 13 Februari – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 40 warga asing selepas menyerbu sebuah banglo mewah tiga tingkat yang dipercayai dijadikan pusat aktiviti tidak bermoral di Persiaran Ritchie, Desa Pahlawan, awal pagi semalam.
- Operasi risikan dua minggu membawa serbuan malam dan penahanan 40 warga asing disyaki terlibat aktiviti tidak bermoral.
- Pelbagai dokumen dan barangan disita termasuk 36 pasport, RM26,600 tunai serta dua kenderaan untuk siasatan.
- Dalang sindiket warga China ditahan; sindiket mensasarkan pelanggan Cina dengan kadar bayaran tetap dan beroperasi sekitar enam bulan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata operasi khas bermula pukul 12.27 tengah malam itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan selama dua minggu.
Menurut beliau, seorang lelaki warga China yang dipercayai dalang utama sindiket turut ditahan bersama 11 lelaki dan 19 perempuan warga China, lima perempuan warga Vietnam, dua perempuan warga Myanmar serta dua perempuan warga Jepun berusia antara 21 hingga 43 tahun.
Semakan awal mendapati dalang utama dan seorang lagi lelaki warga China memiliki Pas Penggajian yang masih sah, manakala enam lelaki dan 19 perempuan warga China, dua perempuan warga Jepun serta lima perempuan warga Vietnam memegang Pas Lawatan Sosial.
Selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.
Operasi itu turut menyita 29 pasport China, lima pasport Vietnam dan dua pasport Jepun selain wang tunai RM26,600 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.
Dua kenderaan iaitu Honda Insight dan Tesla Model 3 turut disita bagi membantu siasatan.
Premis banglo mewah itu dipercayai dijadikan lokasi operasi sindiket bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa dengan seorang lelaki warga China berperanan sebagai pencari pelanggan melalui platform dalam talian.
Datuk Lokman Effendi berkata sindiket berkenaan menyasarkan pelanggan warga asing dan tempatan berbangsa Cina dengan kadar bayaran RM1,000 bagi tempoh 45 minit dan RM3,500 bagi 90 minit serta dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu.
Seorang lelaki warga China disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Empat lagi individu disiasat mengikut Seksyen 6(3) akta sama manakala selebihnya disiasat mengikut Peraturan 39(b).
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Seorang lelaki warga Singapura dan seorang lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.
JIM akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara.