Hina al-Quran, pemergian ‘Pak Lah’: Lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM50,000

John Mule Alai, 48, didapati bersalah memuat naik komen jelik di Facebook yang menyinggung sensitiviti agama Islam

MIRI, 11 Mac- Seorang lelaki di Sarawak dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM50,000 kerana memuat naik komen jelik di Facebook yang menghina Al-Quran serta menyinggung pemergian bekas Perdana Menteri kelima pada April tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesalah didakwa di Mahkamah Sesyen Miri bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Sebagai pentadbir akaun Facebook "Bat Tuo Sai", dia memuat naik komen menghina Al-Quran dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
  • MCMC menegaskan keseriusan terhadap penyalahgunaan platform digital yang menghina agama dan mencetus kebencian.
  • Orang ramai diingatkan guna media sosial secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang; kandungan menghina boleh dikenakan tindakan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan lelaki itu, John Mule Alai, 48, didakwa di Mahkamah Sesyen 1 di sini di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan aplikasi media sosial secara tidak wajar dengan niat mengganggu orang lain.

“Dia selaku pentadbir akaun Facebook “Bat Tuo Sai”, telah memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci al-Quran dan allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian bekas perdana menteri itu,” menurut kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, MCMC menegaskan keseriusan terhadap penyalahgunaan platform digital yang menghina agama, mencetus kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang,” menurut kenyataan.