Hasrat sambut Aidilfitri di Tioman tidak kesampaian, tiga beranak maut motosikal terbabas

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunggang Mohd Sabri Ja’afar, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
  • Pembonceng Siti Aisyah Suhaime, 32, dan kanak-kanak Muhammad Yusuf Abdurrahman, 5, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tekek.
  • Motosikal hilang kawalan dari arah Air Terjun Kampung Juara menuju ke Juara Mutiara Resort sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
  • Keadaan jalan curam dan tidak rata; cuaca baik dan jalan kering; mangsa tidak memakai topi keledar; kes dalam siasatan polis.

PULAU TIOMAN, 20 Mac – Hasrat tiga beranak menyambut Aidilfitri di pulau ini tidak kesampaian apabila mereka maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah motosikal yang terbabas sendiri di Jalan Tekek–Juara, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata penunggang motosikal, Mohd Sabri Ja’afar, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata dua lagi mangsa iaitu pembonceng, Siti Aisyah Suhaime, 32, dan seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Yusuf Abdurrahman, 5, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tekek.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Air Terjun Kampung Juara menuju ke penginapan di Juara Mutiara Resort sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah curam, berbukit dan tidak rata, namun cuaca ketika kejadian dilaporkan baik serta permukaan jalan kering.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa juga didapati tidak memakai topi keledar semasa kejadian.

Difahamkan, keluarga berkenaan yang berasal dari Putrajaya sedang bercuti di Pulau Tioman bermula hari ini sehingga 22 Mac ini.

Sharif Shai berkata mayat mangsa dijangka dibawa ke Hospital Rompin malam ini bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes kini dalam siasatan polis.