
KUALA TERENGGANU, 2 Januari – Seramai 21 penyokong bola sepak Selangor yang ditahan atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam di Terengganu, semalam, didapati positif dadah.
- 21 penyokong Selangor dikesan positif THC selepas ujian saringan air kencing, ditahan bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Kes membabitkan 33 ditahan; termasuk tujuh pelajar dari IPTA, IPTS dan sekolah menengah, disiasat di bawah Akta Penagih Dadah 1983.
- 70 batang suar dirampas, 54 dinyalakan; kes juga disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kesemua mereka antara 33 lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah, positif dadah serta mengganggu tugas penjawat awam.
“Kesemua didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja hasil ujian saringan air kencing dan ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Daripada jumlah itu, tujuh individu merupakan pelajar dan penuntut, terdiri daripada dua pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), empat pelajar institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) serta seorang pelajar sekolah menengah.” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan seterusnya diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
33 individu berkenaan ditahan pukul 8 malam semalam sebelum di bawa ke Mahkamah Majistret pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.
Datuk Mohd Khairi turut memaklumkan, sebanyak 70 batang suar pelbagai saiz turut dirampas, 54 daripadanya sudah dinyalakan manakala 16 lagi belum digunakan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Semalam tular beberapa video menunjukkan penyokong Selangor FC berarak dari Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke Dataran Jambatan Angkat membawa bendera dan menyalakan suar.