
JOHOR BAHRU, 11 April – Seramai 15 suspek ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, Johor, kira-kira pukul 12.45 tengah hari Jumaat.
- 13 kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan dua wanita ditahan di Nusa Bestari dan Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.
- Dua wanita direman tiga hari manakala 13 kanak-kanak direman empat hari bermula Sabtu bagi siasatan lanjut.
- Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan; hukuman maksimum setahun penjara atau denda sehingga RM2,000.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek terdiri daripada 13 orang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, dan dua orang wanita.
Kesemua mereka ditahan di kawasan Nusa Bestari dan Iskandar Puteri, di sini.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bersama Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor menjalankan operasi tangkapan antara jam 3 petang hingga 11.11 malam hari sama.
“Seramai 15 suspek ditahan terdiri daripada 13 remaja lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 12 hingga 37 tahun ditahan di kawasan Nusa Bestari dan sekitar Iskandar Puteri,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus akibat rasa tidak puas hati selepas seorang daripada suspek dipercayai ditampar, sebelum situasi bertukar menjadi pergaduhan selepas waktu persekolahan.
“Permohonan reman terhadap dua wanita tempatan dibenarkan selama tiga hari bermula Sabtu.
“Manakala 13 kanak-kanak lelaki direman selama empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Terdahulu tular sebuah video rakaman pergaduhan di laman Facebook yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat terutama kebimbangan berkaitan keselamatan murid sekolah.