Enam ‘Geng Vincent’ didakwa

Enam individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 12 Februari – Enam individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vincent’, sejak Mac 2025 hingga 15 Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam individu didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang "Geng Vincent" berkaitan kes sejak Mac 2025 hingga 15 Januari.
  • Pengakuan tidak direkod kerana kes berada dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
  • Semua tertuduh tidak diberikan jaminan; kes ditangguh ke 12 Mac untuk laporan forensik.
  • Kes berkaitan sindiket pemerasan seksual dalam talian yang dilumpuhkan menerusi Op Bugil pada 15 Januari.

Tertuduh, M. Nageswaran, 33 tahun, I. Abdul Rahufur Rahim, 31 tahun, Tommy Voo Tze Hau, 28 tahun, M. Vimalanraj, 27 tahun dan Kuek Pei Lin, 20 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bagaimanapun, pengakuan itu tidak dapat direkodkan kerana ia bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Perbuatan itu dilakukan Taman Lagenda Putra, Kulai, Johor, Mac 2025 hingga 15 Januari lalu.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, turut didakwa atas pertuduhan, di lokasi dan tarikh sama di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574). Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Tertuduh Kuek Pei Lin dan remaja lelaki diwakili peguam Woon Wai King. Manakala, Tommy Voo Tze Hau diwakili Sharifah Annafiza Al-Shahab Syed Fadzil.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh dan kes disebut semula 12 Mac bagi laporan forensik.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail melaporkan, pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket pemerasan seksual dalam talian menerusi Op Bugil pada 15 Januari lalu.

Sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan dengan mencipta akaun media sosial palsu atau menyamar sebagai wanita untuk memperdayakan mangsa agar melakukan panggilan video lucah.