
JOHOR BAHRU, 12 Februari – Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Richi, antara Februari 2024 hingga 21 September lalu.
- Enam lelaki didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang Geng Richi mengikut Seksyen 130V(1).
- Mahkamah tidak benarkan jaminan dan sebutan semula ditetapkan untuk laporan forensik telefon bimbit.
- Polis selesai 32 kes pecah rumah dan kedai melalui Op Shutter yang menyasarkan premis bertutup shutter.
Tertuduh, Mohamad Hazwan Sazali, 38 tahun, L. Navindran, 26 tahun, Lim Kam Weng, 26 Tahun, J. Jivaneswaran, 25 Tahun, I. Richi, 22 tahun dan R. Kesava Raj, 20 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Bagaimanapun, pengakuan tidak direkodkan kerana berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula pada 12 Mac bagi mendapatkan laporan forensik telefon bimbit.
Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail melaporkan, pihaknya berjaya menyelesaikan 32 kes pecah rumah dan kedai di sekitar Johor yang aktif sejak 2022 hingga Oktober, tahun lalu, menerusi Op Shutter, 24 Januari.
Kumpulan berkenaan menyasarkan rumah teres tidak berpenghuni serta premis perniagaan yang menggunakan pintu jenis shutter dengan memecah masuk menggunakan peralatan seperti kuku kambing atau alat pemotong.