Elak kerjasama dengan pemandu warga asing – JPJ

Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta rakyat Malaysia agar tidak bekerjasama dengan pemandu warga asing dengan menyewakan kenderaan kepada mereka kerana tindakan itu dikenal pasti antara punca utama kesalahan jalan raya terus berleluasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jangan menyewa kenderaan kepada pemandu warga asing kerana JPJ akan mengambil tindakan terhadap pemandu dan pemilik.
  • Kesalahan utama pemandu warga asing: tiada lesen, tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.
  • JPJ tidak berkompromi dan akan memperkasakan Op PEWA bersama agensi penguatkuasa lain.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memaklumkan hasil siasatan mendapati terdapat segelintir pemilik tempatan yang menyewakan motosikal dan kereta kepada warga asing untuk tujuan penghantaran barangan serta perkhidmatan pengangkutan.

“Jadi JPJ ingin memberi peringatan yang sangat tegas kepada semua rakyat Malaysia supaya jangan bekerjasama jangan menyewa kenderaan mereka kepada warga asing kerana JPJ akan mengambil tindakan.

“Satu, kita akan mengambil tindakan kepada pemandu warga asing itu sendiri dan yang kedua kita juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik yang terdiri daripada warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Op Pemandu Warga Asing (PEWA) di Dewan Merpati JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara.

Berdasarkan rekod 2023 hingga 2025, JPJ mengeluarkan 482,742 saman terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan serius dan berulang, selain menyita 15,789 kenderaan dengan kutipan kompaun berjumlah RM25.3 juta.

Tiga kesalahan utama yang dikenal pasti ialah memandu tanpa lesen, tiada cukai jalan serta tidak memiliki perlindungan insurans, sekali gus boleh membahayakan pengguna jalan raya sekiranya berlaku kemalangan.

JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya dan akan terus memperkasakan Op PEWA melalui kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain.