
NIBONG TEBAL, 17 Januari – Seorang lelaki tempatan maut selepas ditembak dari jarak dekat dalam kejadian di sebuah kedai cuci kereta di sini, malam tadi.
- Dua suspek diburu selepas pembonceng melepaskan beberapa das tembakan terhadap mangsa di kedai cuci kereta.
- Suspek dipercayai memakai pakaian gelap, topi keledar dan menggunakan senjata api semi automatik.
- Mangsa dihantar ke Hospital Taiping, Perak dan disahkan meninggal dunia semasa rawatan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 302; orang ramai diminta hubungi Pegawai Penyiasat Mohd Hafzan Amrie Hashim.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.40 malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia dalam lingkungan 30-an ditembak di bahagian badan dan kaki oleh suspek yang tidak dikenali.”
“Menurut saksi, dua lelaki menaiki sebuah motosikal berada di lokasi kejadian. Pembonceng turun dan menghampiri mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan, manakala seorang lagi menunggu di motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai memakai pakaian gelap serta topi keledar dan disyaki menggunakan sepucuk senjata api jenis semi automatik.
Mangsa dibawa ke Hospital Taiping, Perak sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Mohd Hafzan Amrie Hashim di talian 012-8188389 bagi membantu siasatan,” katanya.