
SHAH ALAM, 16 Februari – Dua pensyarah Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UiTM) cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Pangsapuri Baiduri, Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini tengah hari tadi.
- Dua pensyarah UiTM cedera selepas MPV mereka dihempap pokok tumbang di Pangsapuri Baiduri, Seksyen 7.
- Nur Shahidah, 39, cedera pada muka dan kepala; Shareena Fairuz, 42, cedera di bahagian pinggang.
- Bomba terima panggilan kecemasan pada 12.11 tengah hari dan tiba kira-kira lima minit kemudian.
- 12 anggota dan sebuah jentera LFRT 2 digerakkan untuk operasi menyelamat; maklumat lanjut akan dikemas kini.
Mangsa dikenali sebagai Nur Shahidah Abdul Aziz, 39, mengalami kecederaan pada muka dan kepala manakala Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, cedera di bahagian pinggang.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.11 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.
Komander Operasi PBK I Al Mujid Ali Baba berkata sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kenderaan menyebabkan dua mangsa wanita tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
“Seramai 12 anggota bersama sebuah jentera LFRT 2 digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” katanya.
Menurut beliau, maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.