
PUTRAJAYA, 2 April – Dua pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung siasatan kes pengurusan sisa elektronik.
- Persetujuan Pendakwa Raya atau Peguam Negara diperoleh untuk meneruskan pertuduhan.
- Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah dijangka akan dituduh, tertakluk kepada kemungkinan atau kesulitan.
- Kedua-dua pegawai pernah ditahan bawah Akta SPRM 2009 disyaki terlibat rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik, siasatan sejak awal tahun.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki, pertuduhan akan diteruskan selepas mendapat persetujuan pihak pendakwaan.
“Persetujuan daripada pihak Pendakwa Raya atau Peguam Negara telah diperoleh dan dijangka pertuduhan akan dibuat esok terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan tersebut.
“Saya harap tiada pembatalan dan mereka akan dituduh di mahkamah seperti dijadualkan, tertakluk kepada sebarang kemungkinan atau kesulitan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF): Way Forward, di sini, hari ini.
Kedua-dua pegawai berkenaan sebelum ini ditahan di bawah Akta SPRM 2009 kerana disyaki terlibat dalam rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik.
Siasatan kes tersebut telah dijalankan sejak awal tahun ini susulan pendedahan melibatkan pengurusan e-waste dalam negara.