
GEORGE TOWN, 21 Januari – Satu sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan susulan rampasan dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 6,155 gram bernilai kira-kira RM1 juta dalam satu operasi di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
- Sindiket pengedaran dadah MDMA seberat 6,155 gram dirampas di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
- Dua lelaki tempatan berusia 33 dan 41 tahun ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Bukit Mertajam.
- Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah dan mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
- Suspek direman tujuh hari sehingga 27 Januari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, DCP Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 41 tahun semalam menerusi dua tangkapan berasingan di sekitar Bukit Mertajam.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan turut mempunyai rekod jenayah serta kesalahan berkaitan dadah.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.