Doktor pelatih didakwa rakam wanita mandi di hospital

Tertuduh, Ahmad Hilmi Zulkeflee (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Krai hari ini atas pertuduhan seksual yang didakwa dilakukan tahun lalu di Hospital Sultan Ismail Petra

KUALA KRAI, 11 Februari- Seorang doktor pelatih berusia 26 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Kelantan atas pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang wanita dan memiliki gambar lucah pada September tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Doktor pelatih didakwa merakam wanita sedang mandi tanpa pengetahuan di bilik mandi hospital pada 13 September 2025.
  • Beliau juga didakwa memiliki beberapa gambar dan video lucah pada telefon bimbit pada 14 September 2025.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,000 dengan syarat tidak mengganggu mangsa; sebutan semula kes pada 17 Mac.

Ahmad Hilmi Zulkeflee bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Amal Razin Alias.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merakam seorang wanita yang sedang mandi tanpa pengetahuan mangsa menggunakan kamera berwarna hitam miliknya di bilik mandi, Aras 2, Hospital Sultan Ismail Petra di sini, kira-kira pukul 6.30 pagi pada 13 September 2025.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Hilmi didakwa memiliki beberapa keping gambar dan video lucah dalam telefon bimbit di Bilik 102, Asrama Pelatih Pegawai Perubatan, hospital sama, kira-kira 1.30 tengah hari pada 14 September 2025.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Che Mohd Azim Che Hamat.

Mazlinda mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih muda dan kesalahan kali pertama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mac depan.