Buruh binaan cedera dipukul sekumpulan lelaki

Gambar fail.

MELAKA, 15 Mac – Seorang buruh binaan cedera selepas dipukul dan diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di tepi Jalan Tangga Batu, berhampiran Masjid Ar-Rabbani di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian kira-kira pukul 4 pagi selepas mangsa ditegur suspek yang menuduhnya menyebabkan adiknya ditahan polis berkaitan kecurian motosikal.
  • Mangsa dipukul, bahu kanan ditumbuk dengan topi keledar dan kepala dipukul menggunakan sebatang kayu, orang awam kemudian meleraikan kejadian.
  • Tiada tangkapan setakat ini, suspek dikenal pasti; mangsa dibenarkan pulang selepas rawatan, kes disiasat mengikut Seksyen 148.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi apabila mangsa, lelaki berusia 24 tahun, ditegur suspek yang mendakwa mangsa bertanggungjawab menyebabkan adiknya ditahan polis berhubung kes kecurian motosikal.

“Suspek bersama beberapa rakannya kemudian mengepung mangsa dan memukul bahu kanan mangsa menggunakan topi keledar, manakala rakan-rakannya turut mengejar serta menghayun topi keledar ke arah mangsa.

“Mangsa juga dipukul di kepala menggunakan sebatang kayu sebelum kejadian itu dileraikan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, rakaman dipercayai memaparkan kejadian itu tular di media sosial, Facebook.

Bagaimanapun, Datuk Dzulkhairi berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun suspek yang terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti.

“Mangsa yang cedera telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA